Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan, mempersoalkan dasar serta terbabit dalam dialog terbuka bersama kepimpinan negara.
Perdana Menteri berkata, latihan khidmat negara tidak seharusnya terhad kepada aktiviti fizikal dan pembentukan disiplin semata-mata, sebaliknya perlu memberi ruang kepada golongan muda membina pemikiran kritis serta keyakinan dalam melontarkan pendapat.
Anwar berkata, golongan muda wajar digalakkan menyuarakan pendapat mereka, termasuk pandangan yang mungkin kurang menyenangkan untuk didengari kerajaan.
"Ada pandangan yang saya setuju dan ada juga yang saya tidak bersetuju. Sesetengah pandangan itu mungkin agak tidak selesa (didengar), namun ini adalah peluang untuk anak muda menzahirkan pandangan mereka," katanya.










