MELAKA: Pakatan Harapan (PH) berhasrat membatalkan enakmen yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Melaka, sekiranya diberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari, berkata penjimatan perbelanjaan daripada pembatalan enakmen itu, akan disalurkan kepada bantuan pemilikan rumah untuk golongan belia serta pembangunan usahawan muda di negeri itu.
Beliau berkata, langkah itu antara tawaran PH menerusi Aspirasi Melaka Rumah Kita, yang memberi tumpuan kepada keperluan rakyat, khususnya golongan muda.
"Kita tahu di Melaka ada tujuh ADUN lantikan (dalam Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka) telah diluluskan peringkat Dewan Undangan Negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini dan sekiranya rakyat Melaka memberi mandat kepada PH, maka kita akan membatalkan tujuh ADUN lantikan itu," katanya.










