MANILA: Malaysia menggesa tindakan ASEAN yang lebih proaktif dan bersepadu dalam menangani jerebu rentas sempadan, dengan mengemukakan cadangan kerjasama saintifik dan Dana Jerebu Mampan bagi memperkukuh kesiapsiagaan rantau ini.
Menteri Luar , Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kemerosotan kualiti udara termasuk tahap tidak sihat dan berbahaya di beberapa kawasan menimbulkan risiko serius kepada kesihatan awam, mata pencarian dan aktiviti harian, terutamanya kepada kumpulan rentan.
"Melangkah ke hadapan, ASEAN mesti melaksanakan tindak balas serantau yang lebih proaktif dan bersepadu berteraskan pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang berkesan.
"Bagi melengkapkan usaha ini, Malaysia telah mengemukakan cadangan mengenai Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan bagi memperkukuh kerjasama saintifik, pembiayaan mampan serta tindak balas kolektif terhadap pencemaran jerebu rentas sempadan," katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), di sini hari ini.










