JERTIH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengingatkan golongan peniaga supaya tidak menaikkan harga makanan dan barangan keperluan asas pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat, berkata meskipun pihaknya belum menerima aduan mengenai perkara itu, KPDN Terengganu akan meningkatkan aktiviti pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang.

"Peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga barang kerana bekalan memang mencukupi dan sentiasa ada di pasaran.

"Pengguna boleh mendapatkan barangan keperluan tanpa sebarang masalah," katanya selepas menyempurnakan Program Rentas Desa dan Teroka Pengguna: Suara Kita, Kuasa Kita bertemakan 'Mengimbau Nostalgia Zaman Dahulu' di Kampung Padang Baloh, dekat Pasir Akar di sini, hari ini.