MELAKA: Pasangan kembar, Rania Khadra Naim dan adiknya, Rizka Khadeja, teruja kali pertama dapat menggunakan mandat memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Kedua-dua penuntut Ijazah Sains Komputer di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin itu mengundi di Sekolah Menengah Teknik, Bukit Piatu, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Rania dan Rizka yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 pada 30 November ini, menegaskan kepentingan memilih parti dan wakil rakyat yang mempunyai rekod prestasi cemerlang serta komitmen tinggi dalam berkhidmat kepada rakyat.
"Kami memilih berdasarkan rekod dan janji yang mampu dilaksanakan demi manfaat masyarakat," kata mereka.








