LUMUT – Operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di seluruh negara berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan keputusan mengembalikan Ketua Pengarahnya ke organisasi asal, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, memandangkan pegawai berkenaan berstatus pinjaman daripada pasukan polis, urusan pentadbiran selanjutnya diserahkan kepada agensi berkaitan sementara pelantikan pengganti belum dibuat ketika ini.
“Kita belum sampai ke tahap itu (melantik Ketua Pengarah AKPS) lagi, biar selesai satu-satu dulu. Tetapi, saya beri jaminan operasi AKPS tidak terjejas kerana agensi itu penting.
“Jadi, tidak boleh kerana Ketua Pengarahnya terlibat (pertukaran), seluruh organisasi itu terhenti. Tidak boleh macam itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) serta Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026 di Kampung Sungai Tiram, dekat sini hari ini.










