Georgetown: Tidak berdosa jika seseorang itu memakan ayam berkali-kali dalam tempoh panjang tanpa mengetahui status sebenar makanan berkenaan atau tidak sengaja memilih makanan haram, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Ia susulan pendedahan berhubung rampasan kira-kira 6.5 tan ayam disyaki tidak disembelih mengikut hukum syarak dan didakwa mati akibat proses rendaman air panas.

Mohd Sukki berkata, mereka juga tidak diwajibkan membayar 'kaffarah', menggantikan makanan yang sudah dimakan atau melakukan amalan tertentu bagi menyucikan diri.

Malah, katanya, tidak timbul juga persoalan bahawa seluruh tubuh badan menjadi haram atau ibadah yang dilakukan selama ini terbatal semata-mata kerana pernah termakan makanan yang tidak halal tanpa pengetahuan.