GEORGETOWN: Tidak berdosa jika seseorang memakan ayam berkali-kali dalam tempoh panjang tanpa mengetahui status sebenar atau tidak sengaja memilih makanan haram, kata Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Ia susulan pendedahan berhubung rampasan kira-kira 6.5 tan ayam disyaki tidak disembelih mengikut hukum syarak dan didakwa mati akibat proses rendaman air panas.
Mohd Sukki berkata, mereka juga tidak diwajibkan membayar kaffarah, menggantikan makanan yang sudah dimakan atau melakukan amalan tertentu bagi menyucikan diri.
Malah, katanya, tidak timbul juga persoalan seluruh tubuh badan menjadi haram atau ibadah dilakukan selama ini terbatal semata-mata kerana pernah termakan makanan tidak halal tanpa pengetahuan.










