KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu diberikan peluang yang lebih luas untuk menyumbang dalam sektor pertahanan dan keselamatan negara, termasuk angkatan tentera serta pasukan polis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata walaupun angkatan tentera masih didominasi kaum lelaki, wanita mempunyai peranan yang sama penting dalam pelbagai bidang, termasuk perkhidmatan risikan dan perubatan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang pelatih wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menyuarakan cita-citanya untuk menyertai pasukan tentera.
Pelatih berkenaan bertanyakan mengenai cabaran terbesar dalam melahirkan lebih ramai pemimpin wanita, khususnya dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara.








