Kuala Lumpur: Malaysia perlu beralih daripada pembiayaan berasaskan kuantiti kepada kualiti untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan dana disalurkan bukan sekadar untuk memperluas akses kredit, sebaliknya mampu meningkatkan produktiviti daya saing serta keupayaan syarikat menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keutamaan kini adalah memastikan pembiayaan yang diberikan dapat membantu PMKS berkembang menjadi perusahaan lebih berdaya saing di peringkat global, selain mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran serta menawarkan pendapatan lebih lumayan.

Katanya, pendekatan itu selari dengan hala tuju kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang turut memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti dan kualiti pertumbuhan ekonomi negara.