ISKANDAR PUTERI: Program myKomuniti Perikanan (myKP) di Johor terbukti mampu meningkatkan sosioekonomi komuniti nelayan apabila sebuah kumpulan di negeri itu berjaya menjana pendapatan sehingga RM5 juta setahun menerusi aktiviti penternakan kerang.
Pengarah Perikanan Negeri Johor, Rosmawati Ghazali, berkata pencapaian itu direkodkan oleh myKP Sungai Ayam di Batu Pahat yang bukan sahaja mengusahakan penternakan kerang, malah turut menjalankan aktiviti pemborongan hasil laut.
Beliau berkata, penternakan kerang mempunyai kelebihan dari segi kos operasi kerana tidak memerlukan bekalan makanan atau pemantauan kualiti air seperti aktiviti akuakultur lain, sekali gus membolehkan komuniti berkenaan menikmati margin keuntungan yang lebih tinggi.








