KUALA LUMPUR: Populariti yang semakin memuncak bukan alasan untuk segelintir peminat bertindak melampaui batas, sebaliknya penyanyi meningkat naik, Hussain, 23, mengingatkan mereka supaya sentiasa menghormati ruang peribadinya.

Mengakui dirinya bukan individu sempurna dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, Hussain atau nama penuhnya, Jamak Hussain Jamilulhayat, berharap peminat memahami batas dalam memberikan sokongan serta tidak keterlaluan dalam menzahirkan rasa kagum.

"Saya tak mampu hendak beri nasihat kerana saya sendiri sentiasa melakukan kesilapan. Jadi, apa yang boleh saya nasihat, jagalah batas. Itu sahaja," katanya ditemui pada majlis pengumuman calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-38 di Ombak, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, baru-baru ini.