KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi penekanan utama kepada usaha memperkukuh grid nasional kerana menyedari bahawa kesediaan grid penting bagi menjamin kestabilan ekonomi Malaysia serta memenuhi matlamat tenaga dan perindustrian negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Shamsul Ahmad, berkata aspirasi tenaga dan perindustrian Malaysia hanya boleh berkembang seiring dengan kepantasan pembangunan infrastruktur grid yang menyokongnya.

Justeru, bagi mencapai matlamat itu, beliau berkata, TNB berpegang teguh kepada strategi 'grid-first' atau mengutamakan grid yang membabitkan perancangan dan pengembangan rangkaian nasional lebih awal daripada permintaan dan bukan mengambil langkah hanya selepas permintaan wujud.