KUALA LUMPUR: Setelah lima tahun menyepi, penyanyi, Dinie Rashid mendedahkan dirinya mengalami kemurungan selepas kehilangan dua sahabat baiknya dalam tempoh dua tahun berturut-turut.
Menurut Dinie atau Muhammad Dinie Abdul Rashid, pemergian dua sahabat rapat yang banyak mempengaruhi kejayaan perjalanan seninya itu membuatkan dirinya trauma sehingga terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri.
“Sebenarnya, saya pernah mengalami kemurungan dan mendapatkan bantuan pakar. Pada mulanya, saya berjumpa dengan ahli terapi sebelum mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri.
“Pada 2022, rakan serumah yang juga sahabat baik saya meninggal dunia akibat serangan jantung. Dia merupakan individu yang banyak menyokong perjalanan seni saya dan turut bekerja dalam bidang media.









