BANGKOK: Thailand mengarahkan semua agensi penerbangan dan penyedia perkhidmatan yang mengendalikan data peribadi memperketat keselamatan siber susulan insiden kebocoran maklumat tempahan penumpang Thai Airways.
Arahan Kementerian Pengangkutan itu dikeluarkan selepas syarikat penerbangan tersebut mendedahkan kira-kira 60,529 rekod tempahan penumpang berkemungkinan diakses tanpa kebenaran menerusi sistem pembekalnya.
Thai Airways mengesahkan insiden itu tidak menjejaskan sistem dalaman dan operasi syarikat atau maklumat kad kredit penumpang.
Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan susulan laporan beberapa kes serupa membabitkan syarikat penerbangan di Asia yang menggunakan khidmat penyedia teknologi perjalanan, Amadeus.









