KUALA LUMPUR - Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara kekal pada tahap sederhana, dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menegaskan situasi keselamatan siber negara ketika ini berada dalam keadaan terkawal.Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi NACSA dalam satu kenyataan memaklumkan Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) sedang memantau situasi keselamatan siber semasa negara secara berterusan susulan perkembangan keselamatan terkini."NACSA turut mengambil maklum mengenai insiden keselamatan siber dan gangguan sistem yang melibatkan beberapa institusi kewangan dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memantau perkembangan insiden berkenaan."Bank Negara Malaysia selaku Ketua Sektor Perbankan dan Kewangan sedang melaksanakan langkah kesiapsiagaan secara menyeluruh dan bersepadu, termasuk pemantauan berterusan tahap keselamatan siber entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) di bawah sektor berkenaan," menurut kenyataan itu.Sehubungan itu, NACSA berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Ketua Sektor dan entiti NCII bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikesan serta ditangani dengan segera bagi memastikan perkhidmatan penting negara terus beroperasi dengan lancar.NACSA menegaskan orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan dakwaan berkaitan serangan siber yang tidak disahkan, termasuk hantaran yang tular di media sosial.Orang ramai turut diminta merujuk saluran rasmi kerajaan, Bank Negara Malaysia serta institusi kewangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat yang sahih serta MKN, JPM dan NACSA akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi. - Awani