Sibu: Polis menahan sembilan individu berusia antara 16 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai ditikam dalam pergaduhan di sebuah taman awam di Jalan Gambir di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Sibu antara 10 pagi hingga 4 petang tadi hasil risikan dan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Beliau berkata polis menerima laporan kira-kira 2 pagi tadi berhubung kejadian pergaduhan yang menyaksikan pengadu dipukul sekumpulan individu.

"Dalam kejadian itu, seorang lelaki dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sibu," katanya dalam kenyataan malam ini.