Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan terus mencetuskan sensasi apabila muncul juara Perlumbaan 1, Pusingan 6 saingan Moto4 Asia Cup di Litar Lusail, Qatar, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan Qabil mengulangi pencapaian cemerlangnya selepas turut memenangi Perlumbaan 1 pada pusingan kelima di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu lalu.

Bermula di petak kedua, pelumba negara berusia 14 tahun itu berjaya mengatasi saingan sengit dua pencabar dari Indonesia dan Jepun, Resky Yusuf serta Waku Kunitate untuk melintasi garisan penamat di tempat pertama.

Qabil mencatat masa keseluruhan 19 minit 38.271 saat (s), dengan Resky mengekori rapat hanya 0.010s di belakang, manakala Kunitate ketinggalan 0.199s untuk melengkapkan kedudukan podium.