KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam petang tadi mengakibatkan Kampung Melayu Subang kembali dilanda banjir kilat, selain Jambatan Jalan Jati yang merentasi Sungai Damansara ditutup, susulan runtuhan tebing sungai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata banjir kilat berpunca daripada limpahan sistem perparitan dan bukannya disebabkan oleh fenomena air pasang besar.

"Hujan lebat petang tadi menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung jumlah air, namun keadaan air di kawasan terjejas kini dilaporkan semakin surut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menerusi satu kenyataan berasingan memaklumkan Jambatan Jalan Jati di Seksyen U6, Kampung Melayu Subang ditutup kepada semua jenis kenderaan atas faktor keselamatan susulan hakisan teruk pada struktur penampan (abutment) jambatan.