KUALA LUMPUR: Bukit Aman sedang mengesan rangkaian bekalan dadah di sebalik rampasan lebih 100 kilogram (kg) syabu bernilai RM5 juta, susulan penahanan seorang lelaki warga Malaysia di sempadan Brunei-Miri, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata maklumat dikongsi pihak berkuasa Brunei sedang digunakan untuk mengenal pasti sumber bekalan dadah terbabit, serta individu lain yang mempunyai kaitan dengan operasi pengedaran itu.
Beliau berkata, suspek dipercayai membawa dadah berkenaan dari Sarawak ke Sabah melalui Brunei sebelum ditahan ketika pemeriksaan pada 31 Oktober lalu.









