KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), Eco World Capital Bhd, menerbitkan sukuk wakalah berpenarafan bernilai RM850 juta di bawah program sukuk bernilai RM3 bilion.

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, EcoWorld memaklumkan bahawa terbitan itu adalah yang kelima di bawah program berkenaan yang berlandaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

"Terbitan itu merangkumi tiga bahagian, iaitu RM150 juta bagi tempoh lima tahun, RM550 juta bagi tempoh tujuh tahun dan RM150 juta bagi tempoh 10 tahun," menurut pemakluman itu.

EcoWorld turut memaklumkan bahawa hasil terbitan sukuk berkenaan akan digunakan bagi memenuhi keperluan modal kerja, membiayai perbelanjaan modal termasuk pengambilalihan tanah, pelaburan patuh Syariah serta tujuan korporat am. - BERNAMA