KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan terbaharu perlembagaan berkaitan pengasingan peranan peguam negara (AG) dan pendakwa raya yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan dimaklumkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri.
Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya melalui mesyuarat berlangsung hari ini.
Melalui kenyataan media, jawatankuasa itu memaklumkan pihaknya mendengar pembentangan dan maklum balas daripada AGC berhubung cadangan pindaan Perlembagaan tersebut, setelah meneliti perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-270 yang lalu.
"JKPK telah meneliti cadangan pindaan dikemukakan AGC, khususnya bagi memastikan perkara-perkara yang dibangkitkan MRR diberikan pertimbangan sewajarnya dalam memperkukuh kerangka perundangan bagi pelaksanaan reformasi ini, selaras dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.









