KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil kira kepentingan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat dalam menguruskan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS), meskipun kedua-dua negara mempunyai perbezaan pendirian dalam beberapa isu antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan perdagangan dengan kuasa ekonomi dunia itu tidak boleh dipandang ringan kerana sebarang keputusan yang dibuat boleh memberikan kesan langsung kepada rakyat.
Menurutnya, Malaysia tetap berpegang teguh pada pendirian dalam isu Palestin, namun pada masa sama perlu memastikan kepentingan ekonomi negara terus terpelihara.
Beliau berkata, tindakan mengambil pendekatan konfrontasi tanpa mempertimbangkan implikasi ekonomi berisiko menjejaskan peluang pekerjaan rakyat.










