KUALA LUMPUR: PETRONAS merancang meningkatkan kapasiti sistem pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) kepada 50 petaflops dalam beberapa tahun akan datang bagi memperkukuh keupayaan analisis data geosains dan mempercepatkan aktiviti penerokaan minyak dan gas.

Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Bacho Pilong, berkata peningkatan kapasiti itu dijangka melebihi dua kali ganda keupayaan semasa, sekali gus menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta aplikasi digital yang semakin kompleks dalam industri huluan.

"Keupayaan pengkomputeran itu berpotensi memendekkan proses analisis geosains yang sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan kepada beberapa hari atau mungkin beberapa jam.