KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengakui berlaku kelewatan penghantaran beberapa perolehan aset ketenteraan dan pihaknya sentiasa mencari penyelesaian terbaik selaras dengan perkembangan pelan Angkatan Masa Hadapan (AMH).
"Kita tak nafikan memang ada kelewatan. Kita tak nafikan kenyataan-kenyataan daripada ketua-ketua perkhidmatan yang menyatakan ada aset usang.
"Apabila dah lulus, memang kita tak nafikan ada penghantaran atau pun `delivery' itu lambat. Di sinilah kita sentiasa berikan perhatian melalui pelbagai jawatankuasa.
"Melalui jawatankuasa ini mesti pastikan semua perolehan yang kita buat itu dapat diserahkan mengikut masa yang kita telah tetapkan," katanya pada sidang media Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) Siri 4/2026, di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) di Kem Askar Wataniah 515, di sini hari ini.








