Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi mencabar tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung tunggakan cukai lebih RM5 juta bagi tempoh tiga tahun.
Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan pertikaian berkenaan perlu terlebih dahulu dibawa ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) menerusi mekanisme rayuan berkanun di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau berkata, mahkamah menerima hujahan LHDN yang semua isu dibangkitkan perlu diputuskan terlebih dahulu oleh SCIT memandangkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu selaku pemohon sudah memfailkan Borang Q (rayuan terhadap taksiran cukai) dan rayuan itu masih berjalan.









