Kuala Lumpur: Skuad boling negara terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila menambah satu lagi pingat emas menerusi acara beregu wanita pada Kejohanan Boling Tenpin Asia 2026.
Gandingan Nur Syazwani Sahar dan Adelia Nur Irwan mempamerkan aksi konsisten untuk mengumpul 2,752 jatuhan pin sekali gus menewaskan rakan senegara, Faten Najihah dan Nora Lyana Nastasia yang melakukan 2,732 jatuhan pin untuk meraih perak.
Wakil Filipina, Grace Gella dan Krizziah Macatula pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas melakukan 2,717 jatuhan pin.
Pemenang emas perseorangan wanita, Gillian Lim yang bergandingan bersama pemain berpengalaman, Sin Li Jane pula gagal mencabar rakan sepasukan lain apabila hanya mengumpul 2,707 jatuhan pin untuk menduduki tempat keempat keseluruhan.










