KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menjadi platform penting untuk mendidik generasi muda agar meraikan kepelbagaian kaum dan memanfaatkannya sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kepelbagaian masyarakat Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai faktor yang memecahbelahkan, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk membina kekuatan negara, termasuk dalam aspek inovasi dan penciptaan baharu.

“Jadi raikan kepelbagaian itu. Melalui kepelbagaian saya percaya banyak yang boleh dihasilkan soal inovasi serta penemuan-penemuan baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4 2026 PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini, hari ini.