Georgetown: Seorang pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan spa dan pusat kecantikan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan bagi tempoh bercukai dari 1 Jun 2024 hingga 21 Julai 2025.

Orang Kena Saman (OKS) Foo Kok Keong, 44, yang mewakili syarikat terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, syarikat Areoma Wellness Sdn Bhd sebagai Orang Berdaftar di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan membabitkan jumlah tunggakan keseluruhan termasuk penalti sebanyak RM 89,093.82.

OKS didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya, dekat sini, antara 3 September 2024 hingga 3 September 2025.