Georgetown: Doktor berusia 74 tahun yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin (windsurfing) di perairan Tanjung Bungah, semalam, ditemukan maut di atas batu di kawasan pantai berhampiran Straits Quay, dekat sini, hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Khaw Chun Sein ditemukan terdampar di pesisir pantai pada 9.56 pagi, pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Susulan pengecaman dan pengesahan oleh waris terdekat, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya hari ini.








