GEORGE TOWN – Seorang doktor dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan Tanjung Bungah, berhampiran sebuah kelab renang di sini pada Ahad.Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan lelaki berusia 74 tahun itu pada jam 7.42 malam.Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berkenaan."Jentera tiba di lokasi tiga minit kemudian. Pasukan Keluaran Operasi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, Pusat Kawalan Bomba (PKB) turut dibuka di kelab renang berkenaan bagi menyelaras operasi."Operasi SAR membabitkan lima anggota termasuk penyelia dengan bantuan jentera Fire Rescue Tender. Operasi turut mendapat bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis."Sehingga laporan awal dikeluarkan, mangsa masih belum ditemukan manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan," ujarnya.John berkata, maklumat mengenai pencarian mangsa akan dikemaskini dari semasa ke semasa.