Kota Tinggi: Anggota polis berpangkat Sarjan antara dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 52.8 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) berhampiran Desaru, di sini awal pagi ini.
Mangsa, Jorari Jusoh, 58, yang memandu Proton X50 bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat manakala seorang lagi mangsa ialah pemandu Proton Persona, Nurul Syifa' Mohd Kasimi, 26, yang juga jurutera di Pengerang, di sini.
Seorang lagi pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati Proton Persona dipandu wanita terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.








