KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan inisiatif Malaysia Mall bagi memasarkan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan ke China menerusi platform e-dagang Tmall dan Taobao.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik dengan Alibaba bagi membantu usahawan tempatan memperluas akses pasaran antarabangsa.
Katanya, kerajaan turut meneroka penggunaan platform Daraz bagi membuka peluang kepada produk PMKS Malaysia menembusi pasaran Asia Selatan.
“Sektor e-dagang perlu bersifat dua hala, iaitu bukan sekadar menjadi saluran kemasukan produk luar ke pasaran tempatan tetapi turut berperanan sebagai wahana untuk membawa produk Malaysia menembusi pasaran antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.







