KUALA LUMPUR: Mendahului 10-3 tetapi akhirnya hilang momentum sehingga hampir hilang fokus, Yap Roy King mengakui detik itu hampir meragut peluangnya bersama Aaron Tai untuk menjulang kejuaraan Masters Kumamoto 2026 di Jepun.

Pemain berusia 25 tahun itu mendedahkan mereka berdepan tekanan mental selepas mensia-siakan kelebihan besar pada set pertama ketika menentang bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, dalam aksi final, Ahad lalu.

Situasi itu menyaksikan pasangan negara tewas 16-21 pada set pembukaan sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-13, 21-15 untuk memastikan gelaran kedua mereka sejak digandingkan.

Roy King berkata, dia terpaksa memainkan peranan menenangkan Aaron supaya tidak terlalu memikirkan kesilapan yang berlaku, sebaliknya memberi tumpuan kepada setiap mata.