KOTA TINGGI: Seorang sarjan polis antara dua individu maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 52.8 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) berhampiran Desaru, di sini awal pagi ini.

Sarjan Jorari Jusoh, 58, yang memandu Proton X50, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, manakala pemandu Proton Persona, Nurul Syifa' Mohd Kasimi, 26, seorang jurutera di Pengerang, di sini berasal dari Kampung Teras Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

Seorang lagi pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata siasatan awal mendapati Proton Persona dipandu wanita terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.