SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneliti pelaksanaan sistem pengecaman wajah secara automatik di pintu masuk sekolah bagi meningkatkan keselamatan pelajar serta mengawal kemasukan pelawat, susulan beberapa insiden jenayah, termasuk kes kematian dalam kawasan sekolah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sistem itu bukan sahaja membolehkan kehadiran pelajar dan pelawat direkodkan, malah membantu mengawal risiko pencerobohan serta kemasukan senjata berbahaya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sejak dua tahun lalu melaksanakan penyelarasan pengurusan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi memperkukuh keselamatan sekolah, terutama selepas beberapa insiden jenayah di negeri itu.









