ALOR SETAR: Projek Litar Lumba Sungai Petani bernilai RM46 juta yang sebelum ini tergendala kira-kira dua tahun, dijangka dapat disiapkan pertengahan tahun depan menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, fasa awal pembangunan projek itu adalah membabitkan kerja infrastruktur, penyediaan tempat letak kereta dan pembinaan litar drag dengan kos RM16 juta.
"Projek ini mengalami pemberhentian kerja kira-kira dua tahun, iaitu dari Ogos 2023 hingga Ogos 2025 susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Selepas keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) diperoleh, pihak Open Road bersama kontraktor mengambil inisiatif meneruskan pelaksanaan projek menggunakan pembiayaan sendiri," katanya ketika menjawab soalan lisan Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.









