ALOR SETAR: Siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) terhadap pelaksanaan Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani tidak menjejaskan pembangunan projek berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kemajuan fizikal fasa awal pembangunan projek berkenaan mencapai 78 peratus sebelum dijangka siap pada Jun tahun depan.
“Kerajaan negeri setakat ini, tidak menerima sebarang maklumat atau pengesahan yang mengaitkan kelewatan pelaksanaan projek berkenaan dengan siasatan di bawah AMLA oleh pihak Bukit Aman.
“Sehingga kini, tiada impak terhadap garis masa pelaksanaan projek yang dikenal pasti berpunca daripada siasatan tersebut. Pelaksanaan projek diteruskan berdasarkan perancangan semasa melalui kaedah pembiayaan swasta (PFI),” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.







