KIULU: Percutian hujung minggu seorang lelaki di sungai bertukar tragedi apabila mangsa ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus di River Bothung View Campsite, Kiulu, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, Mohd Hazrul Bin Tanjong @ Mohd Jafaruddin, 28, ditemukan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi memberi bantuan awal pernafasan atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Beki, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada pemilik tapak perkhemahan berkenaan jam 4.15 petang.
Katanya, pasukan bomba digerakkan ke lokasi kejadian jam 4.16 petang sebelum menerima maklumat susulan mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.








