KUALA LUMPUR: BERSATU memerlukan perubahan strategi secara drastik atau 'game changer' susulan kekalahan berturut-turut Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Melaka.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata ia bagi memastikan sokongan teras pengundi Melayu dan Islam dapat diterjemahkan kepada kemenangan kerusi pada pilihan raya akan datang.

Tun Faisal Ismail berkata, parti itu kekal berpendirian BERSATU masih mempunyai daya saing politik walaupun bertanding tanpa kelebihan jentera kerajaan Persekutuan atau negeri.

Beliau berkata, perolehan undi di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membuktikan BERSATU masih mempunyai sokongan akar umbi, khususnya selepas mengambil keputusan bertanding menggunakan logo sendiri.