Kuala Lumpur: Lelaki warga emas terjatuh ke dalam sebuah longkang yang tidak berpenutup dipercayai di Jalan Amaniah, Gombak, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian itu disedari seorang orang awam selepas terdengar jeritan meminta tolong dari arah kawasan bersemak di tepi jalan berkenaan sebelum menemukan mangsa berada di dalam longkang terbabit.

Berdasarkan perkongsian pengguna aplikasi Threads dikenali sebagai @ninirafar, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang itu kira-kira sejam sebelum disedari berikutan keadaan lokasi yang sunyi pada waktu awal pagi.

Menurutnya, kawasan berkenaan bukanlah laluan pejalan kaki selain dipenuhi semak-samun yang mengehadkan penglihatan, menyebabkan ketiadaan penutup longkang di situ sukar disedari orang ramai.