Georgetown: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang doktor berusia 74 tahun yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan Tanjung Bungah, di sini, disambung semula pagi ini.
Operasi hari ini menggunakan tujuh bot dan helikopter itu bagi menjejaki mangsa yang hilang kira-kira jam 7.42 malam semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua yang diselaraskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu meliputi kawasan seluas 94.76 batu nautika persegi.
"Kawasan pencarian dibahagikan kepada lima sektor laut dan satu sektor udara di sekitar lokasi terakhir mangsa berada," katanya dalam satu kenyataan.








