Kuala Lumpur: Kerajaan belum bercadang mewajibkan pengendali titik pengecas (CPO) memasang kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) di kawasan luar bandar dan pekan kecil, sebaliknya masih menggalakkan pelaburan sektor swasta bagi memperluas jaringan berkenaan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, langkah itu mengambil kira kos pembangunan infrastruktur pengecas EV yang tinggi, termasuk keperluan membina pencawang elektrik baharu bagi memastikan bekalan mencukupi.
Beliau berkata, pembinaan pencawang memerlukan perancangan dan tempoh tertentu oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain mengambil kira daya maju komersial, serta jumlah pengguna di sesuatu kawasan.








