PETALING JAYA – Sebuah kapal kargo dilaporkan merempuh benteng di kawasan persisiran pantai di Lumut, Perak pagi tadi sehingga menyebabkan kerosakan pada struktur laluan pejalan kaki dan kemudahan awam berhampiran.

Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi itu tular di media sosial selepas beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan bahagian hadapan kapal berkenaan berada terlalu hampir dengan kawasan riadah tersebut.

Menerusi perkongsian pengguna Threads @zhoushieng_aman, kapal bersaiz besar berwarna biru dan merah itu dilihat berada di tepi benteng dengan bahagian muncungnya telah melanggar benteng kawasan berkenaan.

“Kejadian baru berlaku dekat Lumut hari ini, jam 9.50 pagi lebih kurang,” katanya menerusi hantaran tersebut.