KOTA KINABALU: Asas keputusan Jemaah Menteri menamatkan model Rakan Strategik Projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan kesannya perlu menjadi antara skop siasatan yang diperluaskan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengesan kelewatan projek mega berkenaan.
Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata peluasan skop siasatan itu wajar dan perlu lebih menyeluruh kerana rakyat Sabah mahu mengetahuinya.
Katanya, perluasan siasatan itu juga perlu mengambil kira status RM700.99 juta yang dibayar kepada PDP serta jumlah penyelesaian RM155 juta yang dipersetujui Jemaah Menteri.
"Masukkan juga berkaitan pemilihan kontraktor oleh PDP untuk semua pakej serta laporan Ketua Audit 2019 mendapati bagi WP21 Lahad Datu Bypass, kesemua 10 petender tidak memenuhi sekurang-kurangnya satu syarat kelayakan minimum dan kontraktor yang dipilih tiada pengalaman membina jalan.









