PENGESANAN awal dan campur tangan perubatan segera kekal sebagai langkah paling penting dalam pengurusan Artritis Idiopatik Juvenil (JIA), iaitu penyakit autoimun yang boleh menyerang kanak-kanak seawal usia lapan bulan, menurut pakar perubatan.

Pakar Reumatologi Pediatrik, Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway, Dr Cham Weng Tarng bagaimanapun, berkata kesedaran masyarakat mengenai penyakit itu masih rendah, sekali gus sering menyebabkan diagnosis lewat dan kerosakan sendi yang tidak dapat dipulihkan dalam kalangan pesakit muda.

"JIA ialah penyakit autoimun yang menjejaskan kanak-kanak berusia di bawah 16 tahun. Pesakit termuda yang pernah kami temui ialah bayi pada penghujung tempoh awal bayi dan penyakit ini boleh menjejaskan mana-mana sendi di seluruh tubuh," katanya ketika ditemui Bernama.