Kuala Lumpur: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam saringan pemeriksaan mata bagi penghidap diabetes berupaya membantu Malaysia menjimatkan antara RM10 juta hingga RM20 juta, melalui pengesanan awal penyakit tersebut serta pencegahan kebutaan yang selaras dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030).

MyDIGITAL Corporation menerusi satu kenyataan memaklumkan pemodelan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa pencegahan 67 kes kebutaan melalui saringan pemeriksaan dengan menggunakan teknologi AI akan menangani kos kamera, perisian AI, dan masa kakitangan yang diperlukan untuk mengendalikan program saringan tersebut.

"Ini dimodelkan menggunakan anggaran peralihan Markov, namun ia menunjukkan potensi nilai pengesanan lebih awal dalam mengurangkan kos rawatan susulan serta mengekalkan produktiviti tenaga kerja," maklumnya dalam kenyataan tersebut.