Kuala Lumpur: Selangor bakal menyaksikan perubahan ketara dalam pengurusan ibadah apabila sistem penentuan waktu solat di negeri itu dinaik taraf daripada tiga zon kepada sembilan zon mengikut daerah, berkuat kuasa 1 Januari 2027 bersamaan 23 Rejab 1448H.

​Langkah berkenaan, yang diumumkan menerusi Takwim Waktu Solat Negeri Selangor 2027 (1448H - 1449H) oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor, membolehkan setiap daerah mempunyai takwim waktu solat tersendiri.

​Sembilan daerah yang terbabit dalam pelaksanaan baharu ini ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

​Menurut penjelasan rasmi jabatan itu di saluran YouTube dan media sosial, perubahan berkenaan dilaksanakan bertujuan meningkatkan ketepatan waktu solat mengikut kedudukan geografi sebenar kawasan pengguna.