KUALA LUMPUR: Peluang menggayakan selebriti menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) menjadi antara titik permulaan penting yang membantu duo pereka fesyen, Rizman Ruzaini, membina nama dalam industri fesyen tanah air ketika masih bergelar penuntut universiti.
Bermula dengan menghasilkan busana untuk beberapa selebriti popular termasuk Datuk Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah, platform ABPBH membuka ruang buat mereka memperkenalkan kreativiti serta membina reputasi sebagai pereka fesyen muda yang mula mendapat perhatian.
Malah, Rizman mengakui ABPBH menjadi antara medan pemasaran terbaik ketika itu, memandangkan peluang untuk pereka baharu mengetengahkan hasil karya kepada masyarakat masih terhad.









