KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai asas kukuh bagi mendapatkan penjelasan kehakiman berhubung perintah pelepasan Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, berkata perintah pelepasan atas pembayaran denda oleh Mahkamah Tinggi dikeluarkan pada 6 November lalu dilihat menuntut bekas Perdana Menteri itu dibebaskan serta-merta tanpa syarat selepas bayaran denda RM50 juta dijelaskan.

Beliau berkata, perkara ini bercanggah secara langsung dengan Perintah Pengampunan Bersyarat Yang di-Pertuan Agong bertarikh 18 September, menetapkan Najib perlu menjalani baki hukuman kes SRC International melalui tahanan rumah hingga 2028.

"Pendirian diambil Jabatan Peguam Negara terhadap perintah pelepasan dikeluarkan Mahkamah Tinggi mempunyai merit, sama sekali tidak mempersoalkan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.